Followers

Friday, 3 May 2013

Merealisasikan Model Penambahbaikan Creemers di MRSM Alor Gajah.


MEREALISASIKAN MODEL PENAMBAHBAIKAN CREEMERS

DI MRSM ALOR GAJAH.

 

Memang tidak dinafikan model-model sekolah berkesan yang digunapakai di sekolah-sekolah sentiasa mengalami perubahan dan penambahbaikan sesuai dengan kehendak semasa oleh masyarakat pada ketika itu dan juga mengambil kira misi dan visi sekolah.  Walaubagaimanpun, berdasarkan kajian-kajian tentang sekolah berkesan yang telah dijalankan di beberapa buah negara, model penambahbaikan sekolah yang berasaskan 5 prinsip oleh Mortimore mula mengambil tempat.  Dengan mengikut model-model penambahbaikan sekolah ini diharapkan, prestasi sekolah akan terus meningkat (dari sekolah berprestasi rendah atau sederhana kepada sekolah berprestasi tinggi) dengan memperlihatkan pencapaian pelajar yang melonjak naik. 

Strategi-strategi yang dirangka, berpandukan kajian-kajian semasa terbukti berupaya melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang akademik dan sahsiah, seperti yang terpateri di dalam misi, visi sekolah dan Falsafah Pendidikan Negara.  Terdapat banyak model-model penambahbaikan yang boleh diaplikasikan di sekolah-sekolah di Malaysia.  Namun, model-model penambahbaikan yang akan dibicarakan di sini adalah Model Creemers.
 

 

Model Creemers membezakan diantara aras-aras di dalam pendidikan, seperti yang dinyatakan oleh Scherens, 1992; Slavin, 1996; Stringfield dan Slavin, 1992.  Model ini adalah terdiri daripada berbagai aras.  Aras yang lebih tinggi akan menyediakan keadaan yang sesuai untuk operasi aras yang berada di bawahnya.  Jadi, hasil akhir adalah diperlihatkan dengan kesan cantuman kesemua aras-aras tersebut.  Idea asas Model Creemers ini adalah berpandukan kepada Model Caroll di dalam pengajaran sekolah (Caroll, 1963).  Konsep masa , ditengah-tengah Model Caroll telah dipasangkan secara sistematik dengan konsep peluang untuk belajar.  Quality of instruction’ di dalam Model Caroll telah dihuraikan dengan lebih terperinci dan ditempatkan sebagai teras model komprehensif di dalam keberkesanan pendidikan.  Cantuman konsep-konsep utama dan struktur hierarki yang membentuk Model Creemers menunjukkan bagaimana aras-aras tersebut mempengaruhi hasil akhir pelajar.  Namun begitu, model ini lebih menekankan tentang faktor-faktor bilik darjah, berbanding faktor-faktor lain.

            Merujuk kepada model di bawah, struktur asas model dinamik Creemers menunjukkan terdapat 4 faktor yang melibatkan penambahbaikan sekolah iaitu :

i)                    Faktor aras konteks (context level factors)

ii)                  Faktor aras sekolah (school level factors)

iii)                Faktor aras bilik darjah (classroom level factors)

iv)                Faktor aras pelajar (student level factors)

 


i)                    Faktor aras konteks (context level factors)

Faktor aras konteks menerangkan bahawa kurikulum formal, tidak formal mahupun kurikulum tersembunyi yang disampaikan kepada pelajar mestilah merujuk kepada polisi-polisi pendidikan, seperti Falsafah Pendidikan Negara, polisi pendidikan daerah dan selari dengan misi dan visi sekolah berkenaan.  Kurikulum tersebut juga mesti mengwujudkan iklim sesebuah sekolah yang diimpikan dengan menggabungjalin nilai-nilai yang dipersetujui bersama oleh semua warga sekolah tersebut.  Contohnya, pada aras konteks, sesi P&P guru perlu menekankan nilai kasih sayang dan budaya cemerlang disamping penyampaian isi-isi pembelajaran akademik formal.  Penilaian tentang polisi pendidikan tersebut sentiasa dilakukan dari masa ke semasa untuk memastikan matlamat dan objektif pendidikan releven untuk dicapai dengan mengambilkira faktor transformasi negara yang sentiasa berubah.  Jika masih belum tercapai, berbagai langkah penambahbaikan dan pembetulan dirangka dan dijalankan ke atas polisis tersebut.

                        Di MRSM Alor Gajah, untuk mengaplikasikan Model Creemers ini pada faktor aras konteks, beberapa langkah boleh dibuat.  Semasa merangka misi dan visi sekolah, faktor-faktor luaran yang boleh mempengaruhi program penambahbaikan sekolah diambil kira.  Contohnya, setelah diberi pengiktirafan sebagai ‘Smart School’ dan ‘Cambridge International School’, misi MRSM Alor Gajah untuk menyediakan dan menyampaikan khidmat pelanggan secara professional adalah bertepatan dan memenuhi jangkaan pelanggan (ibu bapa, pelajar) dan penaja (MARA) untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berupaya meneroka pasaran global.  Misi dan visi adalah jelas dan mendapat persetujuan semua warga maktab yang memungkinkan kerjasama erat terjalin bagi menjayakan program-program dan aktiviti-aktiviti untuk merealisasikan misi dan visi tersebut.  Visi MRSM Alor Gajah pula adalah menjadi MRSM terbaik, pilihan pertama pelanggan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan menengah yang terbeza, inovatif dan bertaraf dunia.  Misi dan visi ini juga adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Negara.  Walaupun terdapat tekanan untuk memulakan penambahbaikan ini, namun dengan kepimpinan pengetua yang mantap dan ‘team work’ yang dinamik antara warga MRSM Alor Gajah, segala masalah boleh diatasi dengan jayanya.  Penilaian terhadap program-program sentiasa dibuat pada akhir tahun untuk memastikan objektif-objektif program tercapai agar tidak terkeluar dari landasan misi dan visi sekolah.  ‘Empowerment’ terhadap Timbalan-timbalan pengetua, ketua-ketua jabatan dan guru-guru cemerlang sebagai pemimpin kurikulum telah banyak membantu proses membuat keputusan pada peringkat konteks dan P&P yang mengwujudkan sinergi pada berbagai aras kepimpinan.

ii)                  Faktor aras sekolah (school level factors)

Berdasarkan kepada model komprehensif keberkesanan pendidikan, pada aras sekolah, keadaan yang menyumbang kepada peluang untuk belajar di dalam bilik darjah boleh diwujudkan.  Pada aras sekolah ini, peluang untuk belajar diwujudkan melalui kurikulum formal, plan tindakan sekolah dan perancangan-perancangan aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk merealisasikan matlamat sekolah.  Pihak pengurusan sekolah perlu memperjelaskan tentang misi dan visi sekolah dan bagaimana kejayaan boleh dicapai bersama.  Sesebuah sekolah berkesan mesti bertanggungjawab terhadap pencapaian pelajar-pelajarnya.  Polisi sekolah yang dibina berlandaskan prinsip-prinsip ini boleh mendatangkan kesan yang penting.  Creemers, 1994. 

Creemers menekankan tentang aras sekolah sebagai sistem organisasi dan sistem pendidikan yang berhubungkait antara satu dengan lain.  Ini adalah jelas, kerana faktor-faktor pada aras sekolah ini akan berterusan di aras bilik darjah.  Bagaimanapun, keadaaan boleh menjadi jelas (contohnya, kurikulum) atau kurang jelas (contohnya, struktur organisasi).   Selain itu, faktor-faktor lain yang terlibat di dalam aras sekolah ialah  seperti hubungan antara pengetua dan guru-guru (Rosenholz, 1989; Teddlie dan Stringfield, 1993).  Peraturan-peraturan dan undang-undang di dalam sekolah mengambil kira proses instruktional pada aras bilik darjah.  Ini adalah faktor yang paling penting, terutamanya yang berkaitan dengan bahan-bahan kurikulum, kaedah kumpulan, dan gelagat guru-guru.  Contohnya, mesti ada polisi sekolah yang menekankan tentang misi dan visi sekolah yang perlu dicapai di dalam bilik darjah.  Matlamat pula mestilah realistik, boleh diukur pada jangkamasa tertentu dan boleh dicapai oleh pelajar.  Matlamat itu pula mestilah selari dengan keperluan pendidikan pelajar dan diperlihatkan dengan gelagat guru yang bersesuaian semasa mengajar (Campbell dan Kyriakides, 2000).  Lagipun, sesebuah sekolah yang berkesan akan menguji pelajar-pelajar  dan menstimulasikan guru-guru menjalankan penilaian terhadap pelajar-pelajar.  Guru-guru bersama-sama ibu bapa akan sama-sama bertindak menambahbaik pencapaian pelajar-pelajar untuk peningkatan pencapaian mereka.  Contohnya, melalui PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah), peluang diwujudkan untuk pelajar-pelajar membuat pembetulan dan guru membuat pengajaran ulangan serta peneguhan.  Ini menunjukkan sekolah berkesan lebih menekankan terhadap penilaian secara formatif yang berjalan secara berterusan berbanding penilaian sumatif yang hanya menambil kira nilai akhir sahaja (Kyriakides, 2005a).

 

Aspek organisasi kualiti pada aras sekolah adalah berkait dengan ‘interconnectedness’ (pencerapan mutual) di antara guru-guru dan sikap profesional diantara guru-guru dan pengetua.  Aspek ini tidak hanya merujuk kepada struktur organisasi formal yang bersifat ‘top-down’ dan berhierarki seperti ciri-ciri organisasi Weber sahaja, tetapi juga melibatkan kolaborasi rapat di antara guru-guru dan pengetua yang membantu penambahbaikan di dalam bilik darjah dan juga sekolah.  Dalam hal ini, pengetua diharapkan sebagai seorang pemimpin instruktional yang bertanggungjawab terhadap pembangunan profesional guru-gurunya di sekolah.  Creemers (1994) juga menyatakan bahawa kata sepakat diantara guru-guru tentang pembentukan misi dan visi sekolah dan strategi-strategi untuk mencapainya melalui nilai-nilai yang dikongsi bersama akan menyokong aktiviti-aktiviti guru yang akan menjamin kesinambungan (continuity) dan konsisten (consistency) guru-guru.  Akhirnya, ini akan membentuk budaya sekolah yang sehat diantara pengetua, guru-guru, pelajar-pelajar dan ibu bapa yang menuju kepada terbentuknya sebuah sekolah berkesan (Cheng, 1993).

‘Keadaan masa’ di dalam aras sekolah merujuk kepada jadual waktu sekolah dan perancangan/ rutin sekolah.  Masa pengajaran ditetapkan untuk sesi P &P subjek-subjek seperti Sejarah, Bahasa Melayu, Biologi dan Matematik.  Pembahagian masa lebih diberikan kepada subjek-subjek kritikal seperti Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan.  Peruntukan masa juga diberikan untuk aktiviti sukan, riadah, kelab dan persatuan supaya perkembangan pelajar adalah holistik.   Adalah penting untuk guru-guru dan pelajar-pelajar menguruskan masa dengan berkesan.  Perlu ada sistem berkesan untuk menggalakkan penggunaan masa secara bijak di bilik darjah.  Masa untuk belajar boleh diperluaskan lagi melalui ‘polisi kerjarumah’.  Polisi ini sangat penting pada aras sekolah (Creemers 1994).  Apabila tugasan kerja rumah dapat distruktur dan dikawal dengan baik, dan maklumbalas secara konstruktif diberikan, tugasan tersebut akan memanjangkan masa pembelajaran berkesan di luar waktu sekolah.  Lagipun, perhubungan antara sekolah dan ibu bapa serta persetujuan tentang polisi sekolah dan aktiviti-aktivitinya akan menjamin kepada penggunaan masa yang berkesan ke atas kerja rumah.  Seterusnya, apabila ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka mencapai matlamat yang ditetapkan oleh sekolah, keberkesanan pendidikan akan meningkat.

Creemers (1994) juga menegaskan ukuran yang diambil pada aras sekolah akan dapat mengekalkan sekitaran yang membantu P &P di aras bilik darjah.  Masa pembelajaran akan bertambah dengan iklim sekolah yang teratur (Teddlie dan Renolds, 2000).  Iklim sekolah boleh dibudayakan dengan atmosfera yang tenang dan berstruktur yang boleh membantu guru-guru untuk mengwujudkan iklim ini di dalam bilik darjah pula sebagai satu kesinambungan.

Di MRSM Alor Gajah, untuk mengaplikasikan Model Creemers ini, pada faktor aras sekolah, sikap positif pengetua dan guru-guru untuk menerima perubahan amat mempengaruhi budaya MRSM Alor Gajah.  Nilai-nilai yang dikongsi bersama seperti bertolak ansur, faham memahami, bekerjasama dan bertanggungjawab membantu misi dan visi sekolah tercapai.  Organisasi sekolah juga membantu proses penambahbaikan sekolah melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang bertanggungjawab merangka dasar dan polisi sekolah, melaksanakannya melalui program-program tertentu dan menjalankan pemantauan serta penambahbaikan untuk memantapkan program-program tersebut.  Kepimpinan pengetua dan guru-guru diberi penekanan.  Matlamat dan objektif untuk menghasilkan pelajar yang mempunyai kemahiran insaniah (social skills), kemahiran kendiri (self skills) dan mempunyai nilai-nilai teras MRSM (Saintifik, independen, kreatif, amanah dan patriotik) sentiasa diwar-warkan.  Penglibatan pihak ibu bapa dan masyarakat setempat melalui program-program anak angkat, pesanan ayah bonda dan Hari Kecemerlangan Akademik merupakan sokongan yang padu ke arah penambahbaikan sekolah.  Perancangan strategik penambahbaikan sekolah dilakukan secara sistematik dan  terfokus yang melibatkan semua peringkat lapisan warga maktab iaitu pelajar, guru-guru, kakitangan, pihak pengurusan dan pengetua, ibu bapa dan komuniti setempat.  Penggunaan ICT yang menyeluruh di dalam P&P, penilaian dan peperiksaan serta pengurusan rekod pelajar sangat bersesuaian dengan fungsinya sebagai ‘Smart School’ dan ‘Cambridge International School’.

 

iii)                Faktor aras bilik darjah (classroom level factors)

Faktor bilik darjah lebih menumpukan kepada motivasi guru dan penglibatan mereka di dalam proses membuat keputusan.  Guru-guru yang bermotivasi boleh menjadi ‘role model’ kepada pelajar-pelajar serta memberikan inspirasi kepada mereka untuk terus mencipta kejayaan.  Guru-guru juga perlu diberikan ‘empowerment’ oleh pengetua untuk mendidik mereka menjadi pemimpin yang berkesan.  Kepercayaan yang diberikan oleh pengetua semasa mengendalikan kurikulum di bilik darjah akan mencetuskan inovasi dan kreativiti dikalangan mereka.  Seterusnya ‘best practices’ di dalam P&P yang merangkumi teknik-teknik dan metodologi pengajaran akan dapat dikongsi bersama yang berupaya menyumbang kepada penambahbaikan.  Untuk melahirkan guru-guru yang bersemangat sebegini, pengetua perlu sentiasa memberikan kursus-kursus dan latihan seperti komunikasi berkesan, pengurusan masa dan teknik P&P terkini.  Maklumbalas tentang aplikasi ilmu-ilmu yang diperolehi melalui kursus-kursus dan sessi latihan ini akan  dapat diperhatikan melalui gelagat guru semasa mengajar dan juga maklumbalas melalui pelajar-pelajar.  Kolaborasi guru adalah penting untuk mengwujudkan ‘sinergi kumpulan’ terutamanya semasa pencerapan klinikal dilakukan di bilik darjah.  Pencerapan klinikal tidak bertujuan mencari salah guru tetapi membantu mereka melakukan penambahbaikan.

                  Di MRSM Alor Gajah, faktor aras bilik darjah Model Creemers ini telah memperlihatkan motivasi dan komitmen guru-guru yang tinggi yang memungkinkan mereka melibatkan diri di dalam proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara bijak dan cakap.  Kolaborasi guru adalah baik dimana perkongsian idea dan amalan terbaik di dalam P&P seringkali menjadi agenda utama.  Pencerapan klinikal membantu guru-guru menambahbaik teknik-teknik dan strategi P&P mereka sendiri.  Sistem mentoring yang memasangkan guru lama dan baru ternyata berkesan untuk saling belajar dan berkongsi ilmu dan kepakaran masing-masing.  Kursus-kursus untuk penambahbaikan profesionalisme guru-guru dan staf sentiasa dijalankan oleh pihak BPLM (bahagian Pendidikan dan Latihan Menengah MARA) untuk memperkayakan guru-guru dengan ilmu-ilmu yang perlu di dalam bidang masing-masing.  Kursus SmartSchool dan IGCSE dijalankan 3 kali setahun bagi menambah kapasiti pengetahuan guru disamping mereka faham peranan dan tanggungjawab merealisasikan misi dan visi maktab di bilik darjah mereka.  Kurikulum IGCSE telah dirangka dan dilaksanakan, bersesuaian dengan kurikulum IGCSE peringkat antarabangsa yang disepadukan dengan kurikulum kebangsaan.  Pengubahsuaian dan penyesuaian telah dirangka dan dijalankan untuk menjayakan penambahbaikan ini.  Kami yakin, dengan kumpulan perintis IGCSE Tingkatan 2, 2013 yang bakal menduduki Ujian Checkpoint nanti, kejayaan sulung akan bakal diraih, InsyaAllah. Selain itu, tidak dinafikan juga, pelajar-pelajar ini juga sangat kreatif dan innovatif, malah berupaya memenangi tempat pertama di pertandingan rekacipta antarabangsa di Bangkok pada tahun 2012.

iv)                Faktor aras pelajar (student level factors)

Sesebuah sekolah mempunyai pelajar-pelajar yang berasal dari latar belakang  keluarga, nilai-nilai, amalan dan agama yang berlainan.  Status ekonomi sosial yang berbeza juga mempengaruhi pembelajaran pelajar, contohnya pelajar yang berasal dari keluarga berada mempunyai lebih peluang untuk membeli gajet-gajet seperti I-pad dan tablet yang membantu pembelajaran berbanding pelajar golongan miskin.  Sekolah berkesan perlu mengwujudkan peluang yang samarata kepada pelajar-pelajar ini. Kemudahan komputer yang senang diakses, kiosk komputer dan sistem maklumat pelajar yang berkomputer memberi kemudahan kepada mereka di samping mengwujudkan budaya IT yang berupaya mencetuskan inovasi dikalangan pelajar-pelajar. Adat, agama dan kepercayaan serta pegangan dan prinsip hidup juga berbeza boleh mencetuskan konflik dikalangan mereka jika tidak bijak menyesuaikan diri dan menghormati pendapat satu sama lain.  Maka sewajarnyalah pelajar didedahkan dengan ‘soft skills’ seperti kemahiran menghadapi konflik, kemahiran mengurus stress dan kemahiran berunding supaya boleh diaplikasikan sepanjang kehidupan mereka.  Ekspektasi yang tinggi oleh pihak sekolah dan ibu bapa ke atas pelajar juga boleh menyebabkan mereka tertekan.  Kemahiran mengurus stres yang baik perlu untuk memantapkan jati diri, ketahanan mental dan resiliensi mereka.  Pelajar akan sentiasa bermotivasi dan bersedia menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.  Hasilnya, kognitif, afektif dan psikomotor mereka dapat berkembang dengan menyeluruh dan bersepadu, selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.  Pelajar-pelajar akan sentiasa bersedia menerima pembelajaran dan ilmu-ilmu yang baru.

Di MRSM Alor Gajah, pelajar-pelajarnya terdiri daripada berbilang bangsa, agama, kepercayaan dan nilai.  Tahap sosioekonomi juga berbeza tetapi mereka berupaya bergaul dengan satu sama lain.  Nilai-nilai sekolah yang diterimapakai menjadi budaya sekolah yang dipersetujui bersama.  Kehidupan di asrama pelajar umpama di rumah sendiri, selesa, kondusif dan mesra seperti adik beradik dan sebuah keluarga.  Pelajar-pelajar diberi peluang yang sama untuk belajar dan menyuarakan pendapat serta potensi mereka.  Cara berfikir yang berlainan diterima sebagai keunikan tersendiri dan dihargai, terutamanya di dalam menyiapkan sesuatu projek.  Pelajar-pelajar sentiasa bermotivasi untuk belajar dan mempertingkatkan pencapain mereka bagi memenuhi ekspektasi sekolah dan ibu bapa.  Hasinya, perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor berlaku secara holistik yang memudahkan pembelajaran berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sebagai ‘life long learning’.

 

Rujukan :

1.      Creemers, B.P.M and Kyriakides, L. (2006) A critical analysis of the current approaches to modelling educational effectiveness: the importance of establishing a dynamic model of school effectiveness of instruction. 

2.      Hoy, W.K., and Miskel, C.G. (2001) Educational administration:theory, research and practice (6th edition) New York: McGraw Hill

3.      Allison Zmuda, Robert Kulkis, Everett Kline : Transforming Schools- creating a culture of continuous improvement

 

Wednesday, 1 May 2013

Memahami Konsep 'Sekolah Berkesan' dan 'Penambahbaikan Sekolah'.


MEMAHAMI KONSEP ‘SEKOLAH BERKESAN’ DAN ‘PENAMBAHBAIKAN SEKOLAH’.

Sebuah organisasi pembelajaran juga mempunyai ciri-ciri penglibatan menyeluruh para pekerjanya dalam suatu  proses yang berlaku secara kolaboratif, perubahan secara kolektif kearah nilai-nilai dan prinsip yang dikongsi bersama (Watkins dan Marsick 1992: 118)

Sebuah sekolah yang mengamalkan organisasi pembelajaran dalam budaya hariannya bukan sekadar melatih warganya secara individu tetapi juga pembelajaran bersama berlaku apabila ada perkongsian ilmu dan pengalaman dikalangan guru-gurunya. Perkongsian ini akan seterusnya menghasilkan transformasi yang berterusan dalam meningkatkan kemahiran guru-guru dan seterusnya meningkatkan prestasi murid-murid dan akhirnya keberkesanan sesbuah sekolah.

Sebelum menyenaraikan ciri-ciri sekolah berkesan,  konsep sekolah berkesan seharusnya difahami terlebih dahulu. Shoemaker (1989: 1) memberi pengertian kepada sekolah berkesan iaitu; sebuah sekolah yang yang menjadikan murid-murid dari keluarga berpendapatan rendah ke paras mastery atau penguasaan, menjadikan murid-murid dari keluarga sederhana mencapai kejayaan, dan membawa semua murid-murid ke tahap pencapaian yang memuaskan. Mastery membawa maksud keupayaan dalam kemahiran-kemahiran yang diperlukan bagi  mencapai kejayaan pada tahap persekolahan akan datang.

Schereens et. al (2003) pula mendefinisikan sekolah yang berkesan sebagai merujuk kepada prestasi sesebuah unit organisasi yang yang dinamakan “sekolah”, di mana prestasi sesebuah sekolah adalah sering dikatakan sebagai output sekolah tersebut, yang diukur dengan pencapaian murid pada akhir persekolahan. Namun begitu, Mortimore (1995) pula merumuskan sekolah berkesan dengan lebih khusus iaitu sebuah sekolah yang mencapai tahap pencapaian yang menyamai atau melebihi sasaran yang ditetapkan.

 

Walau apa pun definisi yang diberikan oleh para pengkaji barat, namun di Malaysia keberkesanan sesebuah sekolah adalah jelas dapat dilihat dari keupayaannya mencapai Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah wujud sejak tahun 1996. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan kepada usaha sekolah ke arah, “….melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara” (Akta Pendidikan 1996: 11-12)

 

 

Kajian mengenai sekolah berkesan di negara ini masih belum meluas seperti di negara-negara luar. Satu kajian yang tidak dibentangkan kepada umum  oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Kementerian Pelajaran pada tahun 1989 bertajuk Kajian Keberkesanan Sekolah yang melibatkan beberapa buah sekolah yang efektif dan tidak efektif (Sharifah, 2003). Dapatan kajian tersebut menunjukkan ciri-ciri sekolah berkesan ialah :

1.       kepimpinan yang tegas dan cekap,

2.      penekanan kepada pencapaian akademik dan kelakuan pelajar yang baik

3.      harapan yang tinggi

4.      penyeliaan yang rapi

5.      hubungan ketua dan guru yang baik

6.      pencapaian dan usaha guru dihargai

7.      guru merasa bangga mengajar

8.      pelajar merasa bangga menjadi sebahagian dari sekolah

9.       kemudahan fizikal yang baik.

 
Aplikasi teknik penerokaan semasa P&P guru merupakan satu ciri sekolah berkesan

Selain itu terdapat juga beberapa kajian lalu di Malaysia  yang menggariskan pelbagai ciri-ciri sekolah berkesan yang meliputi pelbagai aspek seperti:

1.      faktor-faktor kepimpinan sekolah

2.      faktor-faktor berkaitan  guru

3.      sumber-sumber fizikal sekolah

4.      faktor-faktor berkaitan murid dan juga peranan ibu bapa.

 

 

Abdul Karim (1989) telah mengenalpasti 12 ciri yang membezakan antara sekolah berkesan dengan yang tidak berkesan, iaitu;

1) kemahiran kepimpinan pengetua

2) persepsi pengetua terhadap peranan mereka

3) pengalaman pengetua,

4) bilangan strategi yang digunakan  untuk menjayakan sekolah,

5) penglibatan ibu bapa,

6) jangkaan guru,

7) sikap guru terhadap murid,

8) perasaan guru  terhadap sekolah,

9) disiplin kendiri pelajar,

10) penggunaan sumber dengan cekap dan berkesan,

11) persepsi guru terhadap laporan dan arahan kerajaan dan,

12) rasa kepuasan guru terhadap pelajar.

 

Rasa kepuasan guru terhadap pelajar dan sikap sayang guru terhadap murid merupakan antara ciri-ciri terbentuknya sesebuah sekolah berkesan.
 
 
 
Terdapat 10 PRINSIP PENAMBAHBAIKAN KEMAJUAN SEKOLAH :

Prinsip 1:

• Mempercayai bahawa
semua pelajar boleh belajar, diajar dan mencapai kemajuan
• Tidak ada seorang pelajar pun yang tidak boleh diajar atau tidak boleh belajar.
• Usaha membangunkan sekolah perlu mengambil kira langkah memajukan setiap orang pelajar.
• Setiap orang pelajar berbeza fizikal, mental, emosi, kemahiran dan latar belakang budaya.
• Persepsi bahawa pelajar malas, bodoh dan seumpamanya bertentangan dengan nilai pendidikan sejagat.
• Peluang yang sama harus diberikan kepada golongan pelajar yang kurang bernasib baik.
• Kehadiran pelajar ke sekolah menandakan mereka ingin belajar.
• Salah satu matlamat kemajuan dalam sekolah adalah untuk meningkatkan kehadiran pelajar
(dengan menyelesaikan masalah yang disebabkan oleh faktor sekolah).
• Wujudkan persekitaran dan suasana sekolah yang dapat menarik pelajar untuk belajar.
• Faktor
kehadiran pelajar berkait rapat dengan tahap pencapaian akademik.
• Amalan yang tidak produktif , contohnya pujian/penghargaan hanya diberi kepada pelajar yang pandai dan kurang memberi bimbingan kepada pelajar yang lemah.

Prinsip 2:

• Mempercayai bahawa
sekolah adalah kunci utama kejayaan pelajar
Faktor dalaman sekolah wajar diberi perhatian terlebih dahulu berbanding faktor luaran.
• Faktor sekolah amat kuat mempengaruhi taraf kemajuan sesebuah sekolah.
• Keadaan sekolah dapat menyuburkan pembangunan intelek dan sosial serta memberi kesejahteraan mental dan fizikal pelajar.
Peluang harus diberikan kepada setiap pelajar untuk memajukan dan memperkembangkan intelek serta bakat mereka.
Iklim dan budaya sekolah yang tidak menggalakkan perkembangan individu para pelajar akan menghasilkan pelajar yang gagal dalam peperiksaan, melakukan vandalisme serta menimbulkan pelbagai masalah ekonomi dan sosial dalam masyarakat.

Prinsip 3:

• Mempercayai bahawa
kemajuan sekolah memerlukan falsafah, matlamat, objektif dan dasar
sekolah.
• Falsafah diperlukan untuk memandu perkembangan aktiviti, mempengaruhi segala tindakan dan corak perhubungan serta orientasi sekolah.
• Falsafah akan mengingatkan dan memandu pihak sekolah bahawa yang diajar/dididik adalah manusia yang berbeza, yang perlu dihormati.
• Sekolah juga perlu mempunyai
wawasan dan pandangan jauh ke hadapan yang diterjemahkan dalam bentuk matlamat sekolah.
• Matlamat hendaklah
tidak bercanggah dengan falsafah sekolah.
• Sekolah tanpa matlamat ibarat kapal belayar tanpa kompas.
• Sekolah perlu merangka matlamat jangka panjang, jangka sederhana dan jangka pendek dan ia akan menjadi ukuran sama ada berjaya atau tidak usaha pembangunan kemajuan sekolah yang dilaksanakan.

Dasar sekolah merupakan satu aspek penting dalam pengurusan sekolah.
• Dasar sekolah boleh dianggap sebagai panduan untuk mengawal segala tindakan pihak sekolah.
• Dasar perlu digubal berdasarkan dokumen rasmi mengikut
pertimbangan profesional.
• Falsafah, matlamat, objektif dan dasar sekolah perlu dinyatakan secara
bertulis dan digubal
bersama-sama serta disebarkan untuk dihayati oleh semua warga
sekolah.
• Sekolah yang tidak menekankan keempat-empat perkara pokok ini, biasanya:
Ø tiada sebarang usaha pembangunan kemajuan sekolah Ø proses pengajaran dan pentadbiran sekolah hanyalah rutin mengekalkan amalan dan mengukuhkan tradisi sedia ada Ø kurang mendapat kepercayaan dan keyakinan masyarakat Ø tidak dapat menghasilkan prestasi akademik yang baik Ø menghadapi pelbagai masalah disiplin

Aktiviti-aktiviti dan program-program yang dijalankan di sekolah mestilah selari dengan dasar, matlamat, objektif dan falsafah sekolah.




Prinsip 4:


Pembangunan kemajuan dalam sekolah merupakan usaha mewujudkan satu budaya sekolah yang lebih positif .
• Budaya sekolah merupakan antara elemen penting yang menentukan kemajuan dan produktiviti sesebuah sekolah serta mempengaruhi pencapaian sekolah.
• Faktor-faktor yang merangkumi budaya sekolah adalah seperti
interaksi antara pelajar dan guru, tradisi yang diamalkan, proses pengajaran di bilik darjah (pengurusan bilik darjah) dan cara-cara pengetua mengurus sekolah.
• Faktor-faktor ini terbukti amat kuat mempengaruhi kemajuan sesebuah sekolah.
• Beberapa keadaan yang mungkin wujud di sekolah:
Ø sekolah diurus tanpa mempunyai matlamat yang hendak dicapai Ø sekolah diurus oleh pemimpin autokratik (beri arahan semata-mata tanpa bimbingan dan tidak terima pendapat orang lain) Ø sekolah diurus secara laissez-faire (serah bulat-bulat hal-hal pelajaran kepada guru) Ø terlalu keras mengenakan tindakan disiplin (mengambil masa p&p untuk selesaikan masalah remeh-temeh) Ø sesi mesyuarat terlalu panjang (mengambil masa guru di bilik darjah) Ø bilik darjah tidak diurus dengan sewajarnya Ø guru lewat masuk ke bilik darjah Ø persediaan p&p tidak dibuat Ø kaedah p&p hanya beri kefahaman kepada pelajar cerdas atau yang disukai (pelajar kurang cerdas dan tidak disukai terbiar tanpa diberi pemulihan) Ø guru abai pelajar slow learner serta salahkan perkara berkaitan latar belakang pelajar Ø guru kurang beri perhatian kepada kebolehan mental dan kemahiran belajar (pelajar lemah akan terus ketinggalan) Ø guru memberi lebih peluang hanya kepada murid berbakat sahaja dalam aktiviti kokurikulum (pelajar yang tidak berbakat tersisih, pasif, kecewa dan putus harapan sehingga mewujudkan percanggahan nilai)
• Budaya sekolah wujud daripada sistem sekolah melalui
amalan pengurusan, pengajaran dan
interaksi
antara satu sama lain (bukan dicorakkan oleh budaya pelajar yang berlainan latar
belakang dan kebolehan).
• Pembangunan kemajuan dalam sekolah sebenarnya lebih bercorak
pembaikan atau pembetulan amalan yang tidak merangsang proses pembelajaran secara produktif.

Prinsip 5:

Kelolaan dan pengurusan bilik darjah yang berkesan ialah aspek penting untuk
meningkatkan lagi pencapaian akademik sekolah.
• Bilik darjah merupakan unit terpenting di sekolah, tempat berlakunya:
Ø proses p&p Ø interaksi guru – pelajar Ø masalah disiplin melibatkan pelajar.
• Pengurusan bilik darjah mempunyai kaitan yang kekal dengan pencapaian akademik pelajar
• Pembelajaran berkesan bergantung kepada guru yang mengajar:
Ø cara guru mengelola dan mengurus bilik darjah Ø kaedah pengajaran digunakan Ø persediaan mengajar Ø strategi yang digunakan untuk menyelesaikan masalah disiplin dalam bilik darjah Ø aktiviti pembelajaran yang dijalankan.
• Pengajaran bukan sekadar menyampaikan isi kandungan pelajaran.
Hasil pengajaran ialah
PEMBELAJARAN.
Jika pembelajaran tidak berlaku, maka tidak berlaku pengajaran.
Hubungan guru dengan pelajar dan perilaku guru turut mempengaruhi pembelajaran di bilik
darjah.
• Pengukuhan aspek negatif yang berlebihan berbanding aspek positif dalam membetulkan kelakuan pelajar boleh memberi kesan yang mendalam terhadap pelajar.

Semangat kerjasama kumpulan perlu ditanamkan di dalam jiwa pelajar-pelajar untuk menyelesaikan sesuatu tugasan yang diberi dengan cekap dan berkesan.
• Pengurusan bilik darjah yang berkesan merupakan satu usaha yang banyak dijalankan oleh sekolah
yang berjaya.

4 faktor utama untuk p&p berkesan:

1.      Memastikan pelajar jelas tentang apa yang diajar

2.      Menggunakan pelbagai kaedah/strategi pengajaran

3.      Sering memberi dan menerima maklum balas
yang jelas

4.      Memantau perkembangan dan pencapaian setiap pelajar



Prinsip 6:

• Penyelesaian masalah sekolah harus ditumpukan kepada
punca-punca yang
menyebabkan timbulnya masalah itu dan
bukan kepada gejala-gejalanya
• Kadang-kala sesuatu
program yang dilaksanakan gagal mencapai matlamat yang diharapkan, bahkan menambahkan lagi masalah yang ada.
• Kelemahan pelajar dalam pelajaran misalnya, bukanlah disebabkan kurangnya program pembelajaran tetapi mungkin disebabkan faktor-faktor lain seperti:
Ø kaedah pengajaran guru Ø kurang bimbingan daripada guru Ø merasa tawar hati disebabkan guru melabel mereka sebagai kumpulan pelajar yang lemah dan bermasalah Ø tekanan psikologi disebabkan fokus pengajaran guru hanya kepada pelajar pintar dan cerdas
Tindakan disiplin tidak akan berkesan jika ia dilaksanakan semata-mata untuk menghukum tanpa mengambil kira sebab seseorang pelajar itu melakukannya, malah boleh menimbulkan masalah lain pula seperti ponteng sekolah dan vandalisme.
• Pelajar inginkan kejayaan untuk perkembangan akademik dan sosial mereka. Jika budaya dan amalan yang terdapat di sekolah tidak memberi peluang kepada mereka untuk menikmati kejayaan dan mengiktiraf harga diri, maka masalah sedemikian akan berterusan.
• Jika punca wujudnya masalah adalah di sekolah, maka matlamat bagi program kemajuan haruslah tertumpu kepada pembaikan masalah di sekolah.
• Punca masalah seharusnya dikenalpasti secara objektif, bukan berdasarkan andaian yang difikirkan.
• Faktor sekolah, yakni
budayanya (amalan sekolah yang produktif dan tidak
produktif) ialah punca kegagalan atau kejayaan sesebuah sekolah.


Prinsip 7:

• Pembangunan kemajuan sekolah perlu dilakukan atas
dasar usaha sama dan
bukanlah semata-mata usaha pengetua seorang sahaja
• Matlamat sekolah ialah matlamat bersama setiap ahli organisasi sekolah: barisan kepimpinan, guru, staf dan pelajar.
• Perancangan dan pelaksanaan pembangunan kemajuan dalam sekolah seharusnya menjadi aktiviti bersama.
• Perancangan program kemajuan secara tidak terancang serta tidak mengambil kira penglibatan bersama setiap ahli akan menimbulkan kepincangan dalam pelaksanaan program.
• Semangat bersama,
kepunyaan bersama dan idea bersama adalah faktor utama dalam pelaksanaan pembangunan kemajuan dalam sesebuah sekolah.
• Berdasarkan kajian, penglibatan bersama para pelajar dalam proses membuat
sesuatu keputusan yang berkaitan dengan diri mereka, telah terbukti mempunyai hubungan yang rapat dengan rasa puas hati mereka terhadap pekerjaan yang seterusnya memberikan hasilan output yang memuaskan.
• Setiap individu yang terlibat dalam membuat sesuatu keputusan mempunyai potensi kemahiran dan pengetahuan yang seandainya digembelengkan akan mewujudkan satu kesatuan yang kukuh.
Komunikasi dua hala dan rasa percaya mempercayai adalah juga unsur-unsur penting dalam penglibatan bersama ini.

Prinsip 8:

Maklumbalas yang berterusan merupakan mekanisme penting pelaksanaan
pembangunan kemajuan dalam sekolah
• Pelaksanaan pembangunan kemajuan dalam sekolah perlu dinilai secara berterusan dari semasa ke semasa.
• Maklumat yang diperolehi penting untuk menentukan sama ada usaha yang dijalankan mencapai matlamat atau tidak.
Pelbagai kaedah pengukuran boleh digunakan: Ø pemerhatian dan pengawasan Ø pengumpulan data daripada rekod (seperti rekod kedatangan) Ø analisis peperiksaan bulanan, penggal dan tahun Ø kes disiplin Ø surat aduan atau pujian Ø pandangan/pendapat daripada ibu bapa atau masyarakat sekitar , soal selidik dan temu bual dengan pelajar atau guru
• Organisasi sekolah perlu mengamalkan
action research yang merupakan mekanisme yang amat berguna bagi pihak sekolah untuk memajukan sekolah.
• Maklumat berterusan melalui kajian bagi mendapatkan maklum balas merupakan entropi negatif yang menyebabkan sesebuah organisasi boleh berfungsi dengan lebih berkesan.

Guru perlu berani menerobos sempadan diri dan meneroka ke sempadan global untuk memperkembangkan potensi mereka sebagai asset untuk sebuah sekolah berkesan.
 

Prinsip 9:


*Mempercayai dan mengakui bahawa ibu bapa dan masyarakat sekitar mempunyai pelbagai kemahiran dan sumber tenaga yang dapat membantu pihak sekolah
• Sekolah mengamalkan
dasar terbuka - beri peluang kepada ibu bapa dan masyarakat sertai pihak sekolah.
• Ibu bapa dan masyarakat menjadi
sumber tenaga yang diperlukan kepada pihak sekolah.
Persefahaman dan kerjasama yang wujud menjadi benteng bagi mengelakkan timbul masalah sekolah berpunca daripada faktor masyarakat.
• Harus diakui bahawa sekolah tidak akan dapat selesaikan masalah yang timbul daripada faktor luar sekolah secara bersendirian.
• Konsep sekolah sebagai institusi masyarakat -
sekolah adalah sebahagian daripada masyarakat dan harus berfungsi untuk kepentingan masyarakat.
• Masyarakat tidak boleh lepas tangan dan serahkan bulat-bulat hal-hal berkaitan persekolahan kepada pihak sekolah semata-mata.
• Sumber tenaga, material dan buah fikiran daripada masyarakat dan alam sekitar perlu digunakan sepenuhnya untuk pembangunan kemajuan sekolah.

 

Prinsip 10:

*Kemajuan sesebuah sekolah memerlukan Pengetua yang mempunyai kepimpinan yang berkesan
• Prinsip terpenting---menegaskan bahawa maju atau mundur sesebuah sekolah adalah tanggungjawab Pengetua sendiri.
• Pengetua ialah faktor yang menentukan keberkesanan sesebuah sekolah.

*Menjelaskan matlamat sekolah dan menggalakkan guru-guru menghadiri bengkel (atau mengadakan sendiri perbengkelan dan aktiviti perkembangan staf).
• Fokus memperbaiki kemajuan sekolah hendaklah berfokuskan p&p di bilik darjah serta perhubungan guru dengan pelajar. Secara umumnya, usaha untuk memajukan sekolah hendaklah berfokuskan:
• pencapaian matlamat sekolah
• penyelesaian punca-punca masalah
• membentuk dan mewujudkan budaya baru yang lebih produktif
• menggerakkan segala tenaga (dalam dan luar sekolah)


Enam ciri kepimpinan Pengetua / Guru Besar berkesan (Sweeney, 1982):

1.Memberi
penekanan kepada pencapaian akademik (aktiviti-aktiviti, pengajaran dan bahan mengajar)
2.Menetapkan
strategi pengajaran dan mengambil bahagian dalam membuat keputusan tentang hal-hal pengajaran.
3.Mewujudkan
iklim sekolah yang teratur, aman dan menyeronokkan untuk p&p.
4.Sentiasa
menilai kemajuan para pelajar, menetapkan harapan dan jangkaan sekolah serta sentiasa menyemak sama ada jangkaan itu tercapai atau tidak
5.
Mengkoordinasi program pengajaran serta menghubungkan kandungan pelajaran yang hendak diajar dengan objektif yang hendak dicapai dan bahan-bahan pengajaran.
6.Menunjukkan kelakuan yang positif dengan memberi
bantuan dan sokongan kepada guru-guru.